Wednesday, May 27, 2009

SENI VISUAL STPM

970 SENI VISUAL

Matlamat

Matlamat sukatan pelajaran ini adalah untuk menyediakan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran seni visual bagi membolehkan mereka
(a) mengikuti program seni visual atau program yang berkaitan di Institusi Pengajian Tinggi,
(b) memanfaatkan pengetahuan dan kemahiran seni visual dalam kehidupan dan bidang kerjaya.

Objektif

Objektif sukatan pelajaran ini adalah untuk membolehkan pelajar
(a) memahami pengertian dan peranan seni visual dalam pembangunan daya kreativiti serta sumbangannya sebagai alat komunikasi yang berkesan,
(b) memahami cara-cara memperoleh dan mengolah idea dalam pengkaryaan dan perekaan,
(c) memahami kepentingan seni visual dalam konteks yang lebih luas yang merangkumi aspek estetik dan fungsi, khususnya dalam peningkatan mutu barangan, industri, dan kualiti kehidupan secara menyeluruh,
(d) memahami bagaimana faktor sejarah, sosial, agama, politik, dan persekitaran mempengaruhi penghasilan karya dan rekaan seni visual, dan menggunakan faktor tersebut sebagai unsur pengembangan idea dalam penghasilan,
(e) memahami bahawa seni visual ialah satu bentuk komunikasi, dan meneliti secara kritis pelbagai karya dan rekaan seni visual yang berbentuk komunikasi bukan verbal,
(f) mengaplikasikan pendekatan penyelidikan dan penyelesaian masalah dalam proses penerokaan dan penghasilan karya dan rekaan seni visual,
(g) menggunakan kecekapan teknikal dalam penggunaan alat, bahan, dan teknologi, serta kaedah seni dalam penghasilan karya dan rekaan seni visual,
(h) mengesan, menghurai, menganalisis, menginterpretasikan, dan membuat pertimbangan secara berpengetahuan terhadap nilai estetik, makna, dan fungsi karya dan rekaan seni visual dengan menggunakan laras bahasa seni visual.

Kandungan

Sukatan pelajaran Seni Visual ini mengandungi dua aspek utama, iaitu apresiasi seni visual dan penghasilan seni visual.

Sukatan pelajaran ini terdiri daripada tiga komponen, iaitu
(a) Teori Seni Visual (Apresiasi Seni Visual dan Teori Penghasilan)
(b) Lukisan
(c) Projek Penghasilan Karya

Bilangan waktu pembelajaran yang dinyatakan dalam sukatan pelajaran ini ialah anggaran sahaja. Satu waktu bersamaan dengan 35 − 40 minit.

Bentuk Peperiksaan

Peperiksaan bagi mata pelajaran ini terdiri daripada empat kertas, iaitu
(a) Kertas 1: Teori Seni Visual − Teori
(b) Kertas 2: Lukisan − Praktikal
(c) Kertas 3: Projek Penghasilan Karya − Kerja kursus (teori dan praktikal)
(d) Kertas 4: Teori Penghasilan Karya − Teori


Calon sekolah kerajaan dikehendaki mengambil Kertas 1, 2, dan 3 manakala calon sekolah swasta dan calon persendirian individu dikehendaki mengambil Kertas 1, 2, dan 4.

Kertas 1: Teori Seni Visual (3 jam)
Kertas ini terdiri daripada tiga bahagian, iaitu Bahagian A, B, dan C. Bahagian A mengandungi beberapa soalan pendek dan/atau struktur yang memerlukan jawapan yang pendek. Bahagian B mengandungi 4 soalan esei tentang Apresiasi Seni Visual, dan Bahagian C mengandungi 2 soalan esei tentang teori penghasilan. Soalan-soalan dalam ketiga-tiga bahagian ini meliputi tajuk-tajuk dalam sukatan pelajaran bagi bahagian Teori Seni Visual. Calon dikehendaki menjawab semua soalan dalam Bahagian A, dua soalan daripada Bahagian B, dan satu soalan daripada Bahagian C.

Kertas 2: Lukisan (3 jam)
Kertas ini adalah berasaskan kepada seting yang disediakan. Calon akan diuji dalam kemahiran melukis mengikut fokus dan permasalahan yang dikemukakan dalam soalan. Ini termasuklah kebolehan menterjemahkan isu, seperti pewujudan kesan ruang, suasana, ekspresi, dan sifat objek.
Gubahan komposisi, kesesuaian media dan teknik serta aplikasi asas seni reka dalam pengkaryaan merupakan elemen penting dalam lukisan.
Media yang digunakan dalam pengkaryaan ini ialah media kering.
Calon dikehendaki melukis keseluruhan susunan objek yang disediakan.

Kertas 3: Projek Penghasilan Karya (Februari hingga September tahun kedua)
Kertas ini bertujuan menguji kemahiran calon untuk menghasilkan karya seni visual sama ada dalam bentuk pengkaryaan atau perekaan. Aspek yang akan dinilai ialah proses (portfolio) dan hasil karya.
Proses penghasilan perlu merujuk kepada tatacara penghasilan sebagaimana yang terdapat dalam penyediaan portfolio dan hasil karya.